Wednesday, February 18, 2009

Perkahwinan Adalah Satu Ibadah

Dari sudut Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kerana ia ibadah yang disyariatkan oleh Islam, maka ia harus dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.


Pelaksanaan secara sempurna adalah satu tuntutan agama. Oleh itu ulamak telah menulis dan menjelaskan dengan panjang lebar dalam hal ini dalam kaya-karya mereka yang terdapat dalam pasaran.


Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.


Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untuk mu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya; dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang."


Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.


Dari sudut syara', hukum berkahwin itu terbagi kepada empat kategori: wajib, sunat, haram dan mubah. Setiap kategori ada sebab-sebab dan asas-asasnya tersendiri. Ia jadi wajib, kalau sesaorang itu sudah mampu (fizikal, material dan spiritual), dan takut terjerumus kelembah perzinaan kalau ia tidak berkahwin. Ia jadi sunat, kalau sesaorang itu mampu dan dalam waktu yang sama ia mempu menahan diri dari melakukan perzinaan, maka ketika itu baginya adalah lebih baik berkahwin dari membujang. Ia menjadi haram, kalau tujuan berkahwin itu semata-mata untuk balas dendam atau untuk menyakiti orang lain. dan ia menjadi mubah, kalau sesaorang itu tidak berhalangan untuk berkahwin sedangkan hawa nafsunya tidak kritikal untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama.


Kalau kedua-dua pasangan suami-isteri itu dapat memahami konsep ibadah dalam perkahwinan, maka sudah tentu masalah rumahtangga tidak timbul. Kerana setiap pasangan itu sentiasa berusaha memenuhi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan ibadah. Di antara tuntutan ibadah dalam perkahwinan ialah kesetiaan, iltizam, tanggungjawab, kasih sayang, hormat menghormati, bela membela, amanah, jujur, ikhlas dan sebagainya.


Dalam sebuah hadith, Baginda Rasulallah pernah bersabda yang bermaksud:

"Bahawa dua rekaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada tujuh puluh rekaat solat orang bujang".


Dengan kata lain, beristeri itu mendapat ganjaran dan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan ibadah seorang bujang. Hikmahnya jelas sekali, ketika melakukan ibadah seorang yang sudah beristeri adalah lebih mantap dan tenang serta lebih khusuk. Atas asas inilah maka ibadah orang beristeri itu lebih baik dan lebih rewarding.


Dunia perkahwinan adalah dunia tanggungjawab dan iltizam yang berterusan, dari sebelum mendapat anak kepada sampai mendapat cucu-cicit. Di mana setiap pasangan diwajibkan menunaikan tugas masing-masing sehingga melahirkan rumahtangga yang aman damai dan bahagia.


Dalam sebuah hadith lain Baginda Rasulallah bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatan, serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang disukainya."


Dalam surah An-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan baik; perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Sebaliknya, lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat: perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat pula."


Ringkasnya, kalau satu-satu pasangan itu berjaya memahami dan mengamalkan konsep ibadah dalam perkahwinan, maka kebahagiaan dan ketenteraman hidup itu boleh dicapai. Kerana konsep ibadah itu ialah konsep hidup bersih. Bersih lahir dan bersih batin. Tidak ada ibadah yang berasaskan kekotoran hati atau hasad. Inilah keindahan Islam bagi kehidupan manusia berumahtangga, berkeluarga, dan bermasyarakat.


PERKAHWINAN

Perkahwinan Harmoni Dikecapi Menerusi Kesungguhan Pasangan Tingkat Ilmu Rumah Tangga
2008-06-09

Oleh: Prof Madya Pauziah Mohd Arshad

PERKAHWINAN adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami isteri. Pasangan suami isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar belakang keluarga berbeza suasana persekitaran, pendidikan serta pendekatan ketika masih kecil hingga dewasa. Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai kehidupan, bersetuju untuk diakad nikah dan mengharapkan mahligai kasih serta keluarga dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.


Firman Allah bermaksud:

"Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21).


Namun, dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan diharapkan tidaklah semudah seperti diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim mungkin kadang-kala menjadi dingin, hambar atau tegang. Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru, suami isteri juga insan biasa yang pasti melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak, dengan sifat murni seperti sikap keterbukaan dan berlapang dada.


Suami isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan berusaha mencari ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumah tangga lantaran masing-masing mempunyai harapan, keperluan dan kehendak bersendirian. Ini mencetuskan perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah semula jadi pemberian Ilahi kepada setiap pasangan.


Perbezaan juga boleh lengkap-melengkapi, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam pembentukan mahligai kasih diinginkan. Justeru, setiap pasangan berkewajipan berusaha menimba ilmu melalui pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan dengan kaunselor kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli keluarga.


Allah berfirman bermaksud:

"Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri dan keturunan sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku dikalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku." (Hadis riwayat Ibn Majah).


Selepas berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat hasilnya dengan mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam yang diungkapkan Ibnu Abbas.


Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia.

Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu:

1- Hati yang selalu bersyukur - Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan. Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah. Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi."


2- Pasangan hidup yang salih - Pasangan hidup yang salih akan menciptakan suasana rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredaan Allah. Demikian pula seorang isteri yang salih, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki isteri salih.


3- Anak yang salih - Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu, kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu."


4-Lingkungan kondusif untuk iman kita - Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif ialah suasana keliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang salih yang mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah. Orang salih adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari orang di sekitarnya.


5-Harta yang halal - Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan." Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya.


6-Semangat untuk memahami agama - Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.


7- Umur yang berkat - Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin salih, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia mengenai masa mudanya. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah.



Sumber: JENDELA HIKMAH


BAHTERA RUMAHTANGGA..

Dalam melayari bahtera rumahtangga, kadang-kadang terasa bahagia dan kadangkala rasa rumahtangga begitu membosankan. Umpama air laut, ada pasang surutnya, ada masa tenangnya dan ada masa gelisah dilanda ombak yang begitu kuat menghempas.


Sebagaimana pepatah Melayu mengatakan lidah dan gigi lagikan tergigit, inikan pula pasangan suami isteri. Walau bagaimana agungnya cinta yang dibina dan walau bagaimana erat kasih sayang yang dijalin dan dipupuk, seperti juga hubungan di antara lidah dan gigi mencerna makanan, walau rapat sekalipun namun sesekali tergigit juga.


Pertelingkahan kecil atau ada rasa tidak puas hati di antara suami isteri memang perkara yang mudah berlaku. Tapi kalau dibiarkan berlarutan dan tidak dibendung segera, pertelingkahan kecil akan jadi besar dan akhirnya mengakibatkan kehancuran pada sesebuah rumahtangga.


Seperti ombak kecil, ia hanya akan mengakibatkan kapal terumbang ambing. Tapi kalau ombak sudah besar, mungkin kapal akan ditelannya. Pertelingkahan atau rasa tidak puas hati jangan dibiarkan berlarutan. Tapi sebaliknya hendaklah segera dibendung dan dibaiki oleh kedua-dua belah pihak agar jangan sampai penyakit yang sudah parah baru kelam-kabut hendak dicarikan ubatnya.


Bagi mengelakkan sengketa jadi besar, perkara awal yang perlu dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak ialah dengan memeriksa atau mengkoreksi diri sendiri, apakah punca pertelingkahan itu berlaku? Kajilah, mungkin salah seorang atau kedua-duanya sekali ada terbuat dosa sama ada di dalam atau di luar rumah, yang zahir mahu pun yang batin. Kadang-kadang dosa yang tanpa disedari itulah yang menjadi hijab dalam mewujudkan ketenangan dan sakinah dalam rumahtangga.


Kalau suami atau isteri telah berbuat dosa keadaan begini boleh berlaku: Suami pulang ke rumah untuk bertemu dengan isteri. Tentu pulang dalam keadaan letih dan lesu setelah seharian mencari nafkah atau berjuang di tengah masyarakat. Tanpa diduga atau disedari tiba-tiba rasa hendak marah pada isteri yang mungkin tidak sempat hendak berhias atau melihat anak-anak yang tidak terurus.


Manakala si isteri pula bila lihat suami yang balik dalam keadaan marah-marah, ia merasa seolah-olah suami sudah tidak menyukai dan menyayanginya lagi. Maka timbullah rasa hambar dan dinginnya rumahtangga yang telah dibina sekian tahun.


Isteri pula kalau merasa dirinya tidak dihargai lagi, mulalah ia memendam rasa. Maklumlah fikiran wanita singkat dan dunianya tidak seluas lelaki. Masalah yang kecil itu dirasakan cukup berat lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan kerenah anak-anak dan kerja rumah yang tidak pernah selesai. Fikirannya akan bertambah terhimpit dan jiwanya makin menderita.


Lantaran terlalu lama memendam rasa akhirnya pecah terburai juga segala isi hati yang dipendam selama ini. Bagi isteri yang lembut mungkin dilepaskan geramnya dengan kata-kata dan nada memujuk tapi sungguh sinis, tajam dan berbisa sekali. Dan yang lebih dahsyat sekali dihamburkan pada suaminya dengan kata-kata yang kesat, pedas dan kasar. Yang penting hatinya puas. Suami yang tidak mahu sengketa itu berpanjangan mungkin mengambil sikap segera mengalah. tapi sebenarnya hatinya sungguh terluka dibuat begitu.


"Wahai para isteri, adakah kamu sudah lupa bahawa redha suami bermakna redha Allah? Kalau hati suami sudah luka apakah kamu akan mendapat keredhaan Allah? Ingatlah, Rasulullah pernah tangiskan bahawa penghuni neraka kebanyakan adalah wanita yang derhaka pada suaminya.


Kenapa harus tersinggung pada suami walaupun benar suami yang bersalah? Setiap isteri harus memahami bahawa setiap apa yang berlaku semuanya dalam perancanaan Allah walaupun perkara itu kita suka atau tidak. Mungkin dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak itulah yang menyebabkan sengketa itu terjadi. Allah hukum melalui tindakan suami yang menyinggung hati. Allah datangkan masalah itu, sebenarnya sebagai penghapusan dosa yang telah kita lakukan. Hukuman dari Allah ini adalah sebagai tanda kasih sayang dari-Nya supaya di akhirat kelak kita tidak akan dihukum lagi.


Untuk itu kita kenalah selalu bertaubat dan mengawasi diri kita dari terjebak dengan dosa sama ada dosa lahir atau batin. Rasulullah saw seorang yang maksum lahir dan batin terpelihara dari dosa sentiasa bertaubat sehari semalam 100 kali. Lebih-lebih lagi muka macam kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat. Oleh itu kita kena selalu menangis dan mengenang dosa kita. Dan Yakinlah setiap yang berlaku itu terkandung seribu hikmah di sebaliknya.


Sekiranya kita telah rasa bersalah segeralah mencari jalan dengan meminta maaf dan memberi maaf pada suami akan ketelanjuran kita itu. Lebih-lebih lagi orang yang banyak jasa pada kita, Kenapa harus kita menyusahkannya? Carilah jalan supaya suami kembali redha pada kita dengan berbuat apa sahaja yang disukai.


Ketika itu pertelingkahan kecil dalam rumahtangga selalunya akan membawa kepada kemesraan hubungan suami isteri yang lebih tinggi. Setelah diuji, Allah datangkan pula nikmat dalam rumahtangga. Setelah sengsara berlalu akan datanglah bahagia. Setelah puas menangis kerana menanggung luka di hati, akan datang pula kasih sayang, perhatian dan pujukan dari suami.


Raumahtangga akan kembali tenang dan bahagia. Dan ketika itu jadilah rumahtangga sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah saw iaiatu rumahtanggaku adalah syurgaku.

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template